MAKA INI. PERUTUSAN HARI RAYA 2009

Raya datang lagi.

Seperti lazimnya gua nak buat ucapan rasmi sebagai protokol perayaan. Harap semua sudi terima ucapan ini. Gua nak ucapkan
SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR & BATIN.

Klik yang berikutnya di bawah ini untuk perutusan tahun-tahun yang telah lalu :

RAYA 2008
RAYA 2007
RAYA 2006
RAYA 2005
RAYA 2004

* * *

Ya. Hari Raya datang lagi.

Nah. Semuanya teratur cantik dan tersusun rapi buat si penyambut kedatangannya. Langsir dan carpet sudah bertukar ganti. Lantai dan cermin selesai digilap kilat. Ibu tersayang gua memasak di dapur dibantu adik-adik. Bapa terkhusyuk mengalun takbir dan tahmid memuji-muji kebesaran Yang Maha Agung sesudah imam solat sebentar tadi, makmumnya anak-anak yang syahdu diruntun kalbu menuruti. Ipar dan cucu sesungguhnya menjadi seri yang tidak ternilai pada keluarga, memeriah lagi suasana yang sudah gemerlap sedia sinarnya.

Penyimpan mohor besar Raja-Raja telah mengesahkan kesohehan tawarikhnya.

Takbir yang bergema lunak indah sebentar menandakan secara rasmi jelangnya kebesaran Aidilfitri yang dinanti-nanti.


Hari ini tetap 1 Syawal.

Dan seperti biasa juga, bulan puasa dirasakan begitu pantas berlalu meninggalkan kita semua. Sepantas larian Usain Bolt ketika memecahkan rekod pecut 100meter itu hari. Selalunya orang akan cakap ‘pejam celik pejam celik dah nak raya’. Betul, memang sedar tak sedar, dah sebulan. 30 hari kita tak makan siang, menahan itu dan ini, bangun bersahur sebelum ayam jantan berkokok kais, melawan rasa ngantuk yang tak tentu hala time, kelesuan cuaca badan yang begitu menggigit dan macam-macam lagi ujian serta cabaran Ramadhan. Gua bersyukur dapat menjalan ibadah ini dengan baik walaupun tidak sempurna pada angle-angle tertentu. Gua hanya manusia biasa. Ada cacat dan ada celanya di mata masyarakat.

Di atas kesedaran rasa serba kecacatan dan kecelaan inilah, gua ingin memberi perutusan ucapan ini. Tidak berseri dan cukup gemilang rasanya Hari Raya sekiranya tidak menyembah maaf dan memohon ampun kepada semua kenalan, baik kaum keluarga, saudara dan mara, kawan-kawan, taulan, rakan-rakan jauh dan dekat serta sahabat-sahabat akrab dan rapat. Gua pinta setinggi-tinggi harapan dan serendah-rendah peribadi semoga dibersihkan segala onar dan kesilapan. Yang terkasar budi dan bahasa, yang terlanjur tutur dan kata, yang terlampau buat dan gerak. Zahir dan batin. Dosa itu sememangnya hening. Agar kita sama-sama menyesali akan perbuatan-perbuatan yang tidak disengajakan mahupun disengajakan itu, terutamanya pada pihak gua. Jangan risau dan khuatir pada ‘hutang-piutang’ itu. Tahulah bagaimana ianya diselesaikan. InsyaAllah.

Pada yang merindukan kampung halaman dan sentuhan peluk cium serta dakap mesra ibu dan bapa di sana, gua ucapkan selamat semuanya. Berjaga-jagalah ketika menjadi pengguna jalanraya. Berhemah kita sama-sama ketika beraya berjumpa yang lama jauh di mata. Ayuh kita sama-sama juga membuka lembar cerita dan bertanya khabar berita. Ada yang harus dan perlu dikongsi, tersirat dan suratan. Inilah masanya kita bertukar hasrat, mengadu nasib, membuai kenangan, membibit memori, berhilai ketawa, meluah jiwa dan rasa. Manusia sudah sifatnya suka membelai dan dibelai emosi. Kita semua punya hati dan perasaan, bukan?

Juadah dan hidangan istimewa sudah tentunya juga menjadi idaman tatkala bermula musim perayaan ini. Gua suka samperit. Samperit ibarat kuih raya yang hebat, lebih hebat dan unggul mengjangkaui batas belahan kerongkong serasa cebis-cebis kecil syurgawi terlekat diantaranya. Akan hikmat dan nikmat sekiranya ia disusuli dengan undangan serta jemputan rumah terbuka walaupun gua kadang-kadang perasan raya dah habis sebulan pun, masih galak lagi ada yang menganjurkannya. Tak jadi kesalahan meraikan kita-kita yang memang seronok makan free dengan anekasari makanan yang sedap-sedap belaka. Sambil tu kan boleh jimat dari ke mapley. Bonus pula kalau ada sedari-sedari baru yang ingin berkenal-kenalan. Bertambah ukhuwah dan silaturrahim.

Mungkin sudah tidak ada lagi sisipan duit raya yang dihulur buat modal membeli jajan, kasut bola jenama sauk ataupun spare part mountain bike gua seketika masa nan dulu. Mungkin juga tidak ada lagi bicara atuk atau nasihat nenek yang sudah pergi meninggalkan diri ke alam abadi. Dan mungkin tidak ada lagi benda perkara yang gua gian nak buat tiap-tiap datang raya saban tahun. Gua sudah bukan berada di zaman itu lagi. Tapi gua sangat syukur gua sudah merasai zaman itu. Kini zaman yang sekarang lebih membahagiakan kerana rencah pengalaman dan kenangannya cukup menggamit. Personanya lebih membuatkan gua bersemangat untuk meraikan ‘kemenangan’ menyambut kedatangan Syawal. Tapi kalau ada yang sudi menghulurkan sebatang dua mercun dan sepam dia pencucuh meriam buluh itu di kampung nanti, takkan gua mahu menolaknya, ye tak? Nanti ada pula yang berkecil hati. Lagi-lagi yang dah ada niat lama nak beri duit raya. Rezeki Tuhan tentukan.


Untuk kalian dan kenalan,

SELAMAT MERAIKAN DAN MERAYAKAN HARI-HARI PUNCAK AIDILFITRI.

MAAFKANLAH SEGALA KESILAPAN YANG ZAHIR DI MATA DAN SELURUH KESALAHAN YANG BATIN DI HATI.

SEMOGA KITA SAMA-SAMA DIBERI HIDAYAH DAN KEBERKATAN OLEH ALLAH SWT SEPANJANG MASA, TIDAK KIRA DI MANA JUA BERADA.

AKHIR KATA, MAJULAH RAYA UNTUK SEMUA.


p/s:
Berhati-hati bila beraya dan dijalan raya. Makan cermat, jiwa selamat. Main mercun jangan simpan-simpan. Jaga diri, hiasi peribadi di rumah mertua. Sila reserve sikit kuih samperit untuk gua.

Ulasan