chiken had.

Lagi kenangan berbuka puasa di bulan Ramadan yang mulia ini.

Gua masih ingat, masa mula-mula Sunway Piramid baru bukak suatu masa nan dulu. Semua menyibukkan diri nak menghala ke sana. Maklum saja, budak baru abis sekolah. Keputusan SPM pula lambat lagik nak keluar. Yang keje, kejelah. Yang sambung belajar terus, tanpa tunggu result SPM pun ada. Jenis yang tak boleh buang masa walau sesaat pun demi mencari ilmu dan segulung ijazah berbayar riban-riban tiap-tiap bulan, lepas tu terus terbang ke awan biru belajar kat oversea dan balik keje yang ada pakai tali leher dan tak nak hampakan harapan mak bapak yang dah banyak melabur wang ringgit. Ada yang pakat nak kawin pun kalau tak silap gua walaupun itu kejadian-kejadian terpencil.

Gua tidak tersenarai dalam mana-mana kategori di atas. Gua abis sekolah selalu ada 3 benda yang gua kerap bikin tiap-tiap hari sebelum menjejakkan kaki ke menara gading milik kerajaan stok yuran semester yang terlalu munasabah. 3 benda itu adalah lepak, jalan-jalan dan makan nasik kat rumah. Ada gua cuba keje nak carik duit poket tapi tak kekal lama. Gua keje kedai cd komputer pirate. Gua blah sebab taknak subahat.

Di masa itu, memang Piramid cukup gempar sekali. Tambah-tambah lagi ada macam-macam tarikan yang cukup leka dan lalai lebih leka dan lalai mengalahkan suasana dan atmosfera di Subang Parade dan arked 20sen kat SS15. Kat Piramid ada gedung game Daytona berjemaah dan Super Megallo Soccer yang bernaung di bawah Sega City, ada kedai Nike, ada wayang besar tak macam cineplex bas mini, permainan luncur ais dan macam-macam lagi sumber kealpaan remaja muda mudi pada zaman itu.

Tapi gua paling faveret ialah pegi Piramid time bulan puasa bila member ramai-ramai ajak pakat pegi Chiken Had.

Chiken Had pada zaman agungnya sangat gilababi best. Tempat duduk tepi tingkap view Sunway Lagun, ayam goreng yang super lemak, rangup dan berminyak, free flow aiskrim ala Mekdonel buatan tangan sendiri, kedai selalu nampak happening sebab kena beratur panjang-panjang tunggu turn nak masuk dan crowd yang terdiri dari, of cos... berbilang makwe-makwi. Namun aktiviti yang menjadi kegemaran gua kalau bukak puasa kat sini adalah kejohanan marathon makan sapa paling banyak pinggan. Gua selalu jalankan perlumbaan ini bersungguh-sungguh kerana takhta gua jarang digugat. Tambahan lagi kadar pemakanan para peserta akan melebihi jumlah kadaran buffet yang dibayar. Padan muka Chiken Had, sapa suruh bubuh harga buffet murah sangat. Pesaing ketat gua yang selalu memberi cabaran sengit pada gua adalah Zaki anak Kak Laily Nasik Ayam dan Nazru anak Doktor Iskandar pakar bedah koronari jantung. Kalau lawan mereka, mesti sipi-sipi sahaja pemenangnya. Ada sekali tu, gua tengok muka Zaki macam nak muntah tapi dia tahan-tahan. Gua tau gua dah menang tapi dia tak nak ngaku walaupun pipi dia dah biru-biru kelebaman. Nazru gua saspek ada bela hantu dalam perut. Yang lain menyandar dan cuba-cuba paksa masuk kepak ayam yang kurus tu dalam mulut. Ceh. Tak champion langsung.

Sejak itu kedai pindah ke bawah, semuanya sudah berubah. Gua pun dah tak pergi ke sana. Kutu-kutu pun dah tak cabar gua lagi. Adik gua yang baru balik dari reunion makan-makan buka puasa minggu lepas kat situ, ada bawa satu berita yang sudah gua tahu walaupun dia tak bagitau. Memang potong abis gua cakap lu. Potong betul.

Chiken Had. Kau abadi dalam lipatan kenangan hidupku yang murni dan meriah dahulu waktu ketika diri ini masih lagi mendambakan aneka rampaian ayam-ayam hebat.

Ulasan