Siapakah rupanya yang datang ?

Hujung minggu gua tak macam hujung minggu kutu-kutu lain. Hujung minggu gua selalunya akan jadi progresif dan produktif berbanding hari-hari seminggu bekerja. Semangat menjadi satu macam. Ini hari aje ada jemputan dari seorang sahabat ke Lim Kok Wing. Entah ada apa entah dia cakap semalam, gua tak berapa nak ingat. Gua main pergi aje. OK la. Ilham kat mana-mana kena tuju. Itu hari kat Pilah, dahsyat-dahsyat juga buah pukul yang gua dapat buat modal cerita. Ini hari ke Cyberjaya tak tau lagi tajuknya. Harapannya sudah tentu yang padu juga.

Bercakap tentang ilham dan semangat, ada yang berpegang pada fahaman bahawasanya sesuatu panggilan ilham atau seruan semangat itu akan datang pada tempat ketika di mana kita berada. Ada yang suka duduk menghadap lautan nan luas sambil duduk-duduk sendu nan syahdu tengah kaki mengurut bibir pantai di waktu senja ditemani camar pulang. Ada yang gemar berada di dalam hutan sedang desir aliran sungai dan suara unggas dan mergastua bermain-main di halwa telinga menjemput kita bersatu bersama alam. Ada yang lebih senang bersendiri di dalam bilik dikeliling dindingan empat penjuru tanpa ada sekelumit pun gangguan dari mana datangnya sudut atau arah. Ada yang bertenaga berdamping di sampingan yang tercinta yakni makwepakwe, kekasih awal dan akhir, keluarga, sahabat handai serta orang-orang si pembawa erti dan makna dalam hidup. Ada yang seronok melihat, memerhati, menonton, memantau dan mengamati gelagat dan telatah sekitaran - tanpa disedari atau tidak bahan objek atau rangka individu yang diperhati itu. Ada yang sengaja rela-rela diulit mimpi dan dilamun khayal tanpa mengira siang atau malam hari asalkan maksud dan hajatnya sampai. Ada yang bermenung jauh dan terima sahaja ketentuan dan kehendak pada yang lebih Maha Mengetahui segala.

Mencurah ilham tidak setanding menerima semangat. Bagi gua, gua lebih senang yang datangnya dari 'dalam'. Hakikatnya, bila tersingkap dan terpecahnya satu-satu kebenaran itu... lebih ramai yang tidak sedar dari yang sedar. Apa mustahil yang lena itu lebih jaga dari yang bangkit bersedia menerima sebarang kemungkinan atau kebarangkalian. Deja Vu? Ah. Mana ada Deja Vu. Itu semua permainan roman jiwa aje. Gua dah rasa banyak kali dah. Bukan kerja senang nak membongkar rahsia ni.

Masih memikirkan hendak sarung baju kaler apa dan seluar jenis apa tatkala berhujung minggu. Walhal yang di jemuran masih lagi belum kering. Terima kasih buat hujan yang sudi turun.

Ulasan