HARIMAU MALAYA: PENAKLUK TERUNGGUL SELURUH RANTAU ASIA TENGGARA!

Kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, mengukir sejarah tersendiri menamatkan penantian 20 tahun pingat emas setelah berjaya menumpaskan 1-0 pasukan Vietnam pada perlawanan akhir pada Sukan SEA ke-25 di Laos, diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanahair.

Kita semua harus berbangga dengan kejayaan bersejarah yang tentunya ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang akhirnya termakbul. Kejayaan ini mampu menceriakan dan sekaligus menghidupkan kembali kegemilangan sukan bolasepak negara setelah mengalami zaman kemerosoton. Keunggulan yang dicipta oleh skuad bimbingan K.Rajagobal hari ini perlu diteruskan agar skuad negara terus digeruni oleh pasukan lawan. Seharusnya, pemain kita dapat kekalkan prestasi mereka dari semasa ke semasa sekiranya ingin terus memegang gelaran juara pada Sukan SEA di Bandung, Indonesia pada 2011 nanti ataupun kejohanan-kejohanan bertaraf serantau dan antarabangsa.

Kemenangan merangkul emas turut disifatkan telah berjaya mengubat luka yang telah lama terpendam dalam hati setiap pemain, peminat bola sepak serta seluruh rakyat di negara ini. Maka, secara tidak langsung kejuaraan yang dirangkul juga dapat menaikkan kembali semangat setiap pemain yang beraksi pada liga Malaysia yang sebelum ini seolah-olah dipandang lekeh. Ayuhlah kita semua harap agar selepas ini Liga Malaysia tidak lagi dianggap sebagai kurang berkualiti kerana mereka telah berjaya membuktikan kemampuan sebenar pasukan bola sepak negara.

Kemenangan yang dicetuskan skuad kebangsaan adalah merupakan kejayaan yang sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sukan bola sepak ini adalah sukan untuk semua dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, seharusnya meraikan kemenangan yang cukup bersejarah ini. Mungkin inilah dia berkat hijrah tahun baru.

SKUAD EMAS 2009: Inilah barisan wira bola sepak negara yang berjuang menjulang nama Malaysia di bumi Laos hari ini. Tumbangnya Vietnam 1-0 sehingga ke detik-detik terakhir perlawanan, bermakna kita kembali menjadi jaguhan ulung di rantau ini.

SKUAD EMAS 1989 kini sudahpun punya pewaris legasi setelah 20 tahun mendambakannya.

MALAM INI KERAMAT HARIMAU MALAYA GAH GEGAR MENGAUM. SUATU LEMBARAN BERSEJARAH BOLASEPAK NEGARA KINI HEBAT TERLAKAR DI SERATA RANTAU.


REBIU PERLAWANAN: MALAYSIA VS VIETNAM

Malaysia menamatkan kemarau emas selepas menumpaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-25, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional.

Kemenangan Malaysia adalah hasil gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83. Gol tersebut berpunca dalam perebutan di depan gawang Vietnam ketika hantaran lintang daripada Safiq Rahim, yang ditujukan kepada pemain gantian, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, ditampan oleh Mai Xuan Hop dan masuk ke gawangnya sendiri.

Kali terakhir Malaysia mendapat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur (1989) di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Bermain di depan hampir 17 ribu penyokong lawan yang memakai baju-T merah dan bintang warna kuning di dada, Malaysia dan Vietnam memulakan perlawanan dengan berhati-hati dengan masing-masing cuba melakukan percubaan untuk menguji gawang lawan. Aksi berhati-hati kedua-dua pasukan menyebabkan bola banyak berlegar di tengah padang dan sesekali, pemain Vietnam yang terkenal dengan larian laju cuba menguji penjaga gawang Malaysia, Mohd Sharbinee Allawee dengan percubaan jarak jauh.

Kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-29 tetapi tandukan S.Kunalan melepasi palang gol.

Terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol pembukaan. Malaysia tampak mendominasi perlawanan separuh masa kedua bila berjaya mengekang asakan lawan dan menghentikan hantaran jauh mereka menyebabkan penyerang lawan tidak mendapat bantuan apabila berada di hadapan pintu gol Malaysia. Benteng Malaysia yang dikendalikan oleh Sabre Mat Abu perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang asakan lawan dan ketika barisan penyerang Malaysia pula ketandusan idea, Rajagobal memasukkan Mohamad Zaquan Adha bagi menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-69. Kemasukan penyerang itu jelas memberi nafas baru kepada pasukan namun banyak percubaan di depan gawang lawan masih belum mampu mencecah jaring Vietnam.

Namun, gol sendiri oleh Mai Xuan Hop akhirnya memperlahankan rentak lawan sebelum pengadil Pratap Singh dari India meniup wisel penamat.Malaysia menempah tiket ke final selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1 sementara Vietnam mengalahkan Singapura 4-1, pada perlawanan separuh akhir, pada hari Selasa lepas.

Sejak emas tahun 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan itu diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina). Pada edisi 2007, Malaysia tersingkir awal, pada saingan peringkat kumpulan.

Pada pertemuan kedua-dua pasukan di peringkat saingan Kumpulan A pada 6 Disember, Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam.

Malaysia, naib juara Kumpulan A, memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan membelasah Timor Leste 11-0, tumpas 1-3 kepada Vietnam, menang 4-0 ke atas Kemboja sebelum melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan sebanyak lapan edisi berturut-turut, Thailand, 3-1.

BARISAN MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabree Mat Abu, Mohd Nasriq Baharom, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar,K.Gurusamy, S.Kunalan, Safiq Rahim, Ahmad Fakri Saarani (Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak), Mohamad Muslim Mohamad (Mohamad Azmi Muslim), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan).



SYABAS DAN MAJU JAYA SELAMANYA SANG HARIMAU MALAYA !

Ulasan

$uNmeloN berkata…
salam FM sesungguhnya aku setuju "Harimau Malaya: Penakluk terunggul seluruh rantau Asia Tenggara" Syabas utk SEMUA.
faizalmukhtar berkata…
[sunmelon]

syabas syabas syabas dan syabas lagi.