diberi gelaran 'supermokh' raja bola!

Stylo Supermokh mana-mana player takleh celen sepanjang zaman. Mamat Khalid pun ada setuju cakap gua!

Oh. Hari ni aku ada jumpa blog Tuan Direktor Mamat Khalid. Saja-saja aku nak tau perkembangan terkini tentang apa yang dibuat perihal filem 'Estet' dan yang lain-lainnya. Nah! Berita baru, yang tak berapa baru, ada cakap dia nak bikin filem biografi MOKHTAR DAHARI! Itu pun Shazrol Suhaime ada gegar gua tah bila tah kemarin lepas.

Chaiisss!!! Sekali stim gua sudah mari sebab gua ada terfikir jugak sapa-sapa yang ada berani bikin filem pasal legenda SuperMokh sejak aku sekolah rendahan dulu. Gua jugak memang stim dan kagum bila baca cerita tentang kedahsyatan Supermokh walapun gua tak membesar zaman Supermokh. Bukan sebab nama Supermokh sama dengan nama bapak gua, tapi memang Supermokh real punya player. Tak sangka lu berani, bang Mat! Tapi itu dua-tiga lagi cerita yang lu kata nak bikin lepas 'Estet' tu, bila masa pulak lu nak buat? 'Zombi Kilang Biskut'? 'Rock 2'? 'Ngah Zain'? 'Gangga Negara'? 'Tiga Pintu' collaboration antara Bang Mat, Adflin dan Aziz M Osman tu? Best tu! Satu filem tiga cerita, dari tiga pengarah. Dua XL satu S. Harga tiket satu je. Sedap jugak gua dengar itu hari...

Tiba-tiba gua ingat Bang Mat ada cakap, "Kau buat la bila masa kau nak buat bila sampai masanya bab-bab nak berkarya ni. Apa ada salah ke?"

Tiba-tiba jugak, gua teringat dulu ada satu cerita dokumentari kat TV Pendidikan masa gua sekolah petang masa Tingkatan 2 Budi ... ada main lagu SuperMokh Raja Bola. Lagunya gua hafal sampai ini hari.

Dulu, Selangor pun ada jantan lawan kelab Maradona Boca Juniors. Itu pun ada Mokhtar. Sikit punya kental ke, brader!


* Sini blog Mamat Khalid --- namanya Tempurung Pecah

* Sini pulak untuk yang miss
Majalah 3 itu hari...




* Sini pulak tulisan Bang Mat yang aku ciplak bulat-bulat dari blog dia. Rugi bebenor rasanya kalau tak kongsi. Gua memang suka ini tulisan.



" MENGAPA NAK JADI PENGARAH FILIM, BANG?! "

Artikel ini ditulis pada bulan Ogos 2006.

Sedari aku masih kecil lagi aku selalu memikirkan bagaimanakah alam ini mula-mula terjadi? Adakah ianya tercetus secara letupan seperti yang disarankan oleh teori ‘Big Bang’ itu atau ujud secara berkelompok hasil dari percantuman secara perlahan-lahan debu-debu cekerawala seperti sang tiram mengumpul matter di sekelilingnya dalam menghasilkan mutiara?

Adakah black hole yang telah dikalkulasikan oleh Stephen Hawking itu benar-benar ujud? Di manakah ianya terletak di dalam falsafah Cartesian mahupun di dalam sistem pengiraan bintang Zihi-Malikshahi yang telah ujud di zaman kegemilangan Jallal-ud –Din itu dahulu?

Yang sebenarnya enigma ini tiada kena mengena langsung dengan penulisan aku ini cuma aku tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Sama seperti masalah lakonlayar Tarantino yang menjelajah separuh dunia sebelum ke inti karyanya.

Filim, atau di dalam bahasa Malaysianya – filem, yang sering disebut di zaman kegemilangan filem-filem Melayu sekitar awal 50’an ke pertengahan 60’an dahulu adalah perkataan yang diambil terus dari bahasa Inggeris. Yang juga telah dicedok dari bahasa asalnya iaitu filmen dari bahasa Inggeris Lama yang tidak ada kena mengena langsung dengan kesenian. Ia lebih kepada sebutan yang diberi kepada lapisan kulit yang nipis seperti kornea mata, perlapisan tisu dan sebagainya.

Di dalam tahun 1845, barulah ianya mula digunakan di dalam kamus untuk memberi maksud lapisan atau ‘coating’ bahan seperti gelatin atau piring kertas di dalam penghasilan fotografi

Filem yang dimaksudkan oleh aku di sini pula adalah wayang gambar, bukan bahan tipis daripada seluloid yang dimasukkan ke dalam kamera untuk membuat gambar. Itu kodak kata orang kampung aku.

Bermula dari pengertian filem itu, maka penggunaan istilah filem itu pula terus berkembang sehingga mempunyai kepelbagaian erti mengikut kehendak penggiat perkataan itu tadi. Seperti penggiat filem, penerbit filem, pengarah filem, pelakon filem dan tidak ketinggalan pengkritik filem.

Genre filem itu sendiri telah dipelbagaikan juga untuk memudahkan pengkritik filem itu membuat tafsiran mereka seperti filem seram, filem komedi, filem sedih dan filem merepek. (aku diberitahu, filem aku termasuk di dalam kategori yang akhir walau aku bermati-matian mengatakan genre filem aku lebih kepada genre filem perang.)

Dalam keghairahan kita menggunakan perkataan filem di belakang gelaran kita itu, maka perkataan filem telah berkembang lebih jauh lagi di dalam dunia perfileman kita dengan terbitnya ungkapan festival filem.

Festival dari bahasa Latin Zaman Pertengahan - festivalis ke bahasa Inggeris – festive, membawa erti hari suci. Aku pun merasakan memang amat suci hari itu bagi kita penggiat-penggiat filem.

Tetapi dengan arus pemantauan minda yang semakin hari semakin galak diwar warkan oleh pelbagai pihak maka jesteru itu perkataan festival telah dihapuskan sama sekali dan digantikan pula dengan perkataan yang lebih dinamik tetapi sangat tidak digunakan iaini pesta. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ketiga, pesta di sini membawa maksud pertandingan atau pertunjukan filem. Amat tepat sekali penggunaan ayat yang terpampang di dalam pesta tahunan kita kali ini.

Semakin dikejar usia semakin matang kita memilih perkataan untuk dikaitkan dengan perkataan filem yang sangat bermakna bagi kita yang memandang tinggi maksud perfileman itu sendiri.

Selain dari menghadiri Pesta Filem ini, filem pada aku adalah satu medium hiburan yang amat besar sumbangannya kepada setiap manusia yang berbudaya. Berbudaya seperti insan renaissance yang menghormati seni sebagai jendela untuk menghayati kehidupan. Atau setidak tidaknya berbudaya mentafsirkan seni itu sebagai sebuah seni yang mutlak.

Filem jika dirujuk secara ilmiah, merupakan cermin yang dapat mengimbas warna warna kehidupan yang bermain di sekeliling alam di waktu penggambaran itu dibuat. Segala hasrat yang terpahat di hati penggiat filem tersebut akan terungkap di dalam karya mereka secara terus-menerus. Walaupun diadun secara tersirat. Ianya dapat menerjah masuk jauh ke dalam pemikiran orangramai berbanding dengan medium hiburan yang lain.

Segala suka duka imejan yang terpapar jelas dapat menembus terus ke penghayatan para penonton sehingga mampu mempengaruhi ruang escapism kepada manusia sejagat! bayangkan kekalutan golongan sesetengah masyarakat jika watak Rajnikan dimatikan di akhir sesebuah filem! mau terbakor panggung!

Walaupun demikian, wayang gambar/filem ini merupakan suatu hasil seni yang sering disalah erti dan anggapan pada setiap masa. Segala yang cuba dipaparkan ke layar perak itu selalunya mendapat tentangan dari segi ideologi dan ism dari golongan kita yang selalu melihat filem dari mould atau acuan yang terturap keras di dalam pegangan kita. Bahan rujuk kita cuma berlegar di batasan sejauh dunia tempatan. Mengapa kita sekelompok warga seni yang terpileh boleh terpisah renggang walaupun di dalam satu keluarga yang kecil?

Ketika Motilal Chemical Company of Bombay mengambil B.S. Rajhans sebagai pengarah yang menghasilkan filem pertama di Tanah Melayu, acuan perfileman kita telah terbentuk. Lakunlayar filem ‘Laila Majnun”, yang diambil terus dari pentas bangsawan itu terus menjadi templet sebenar-benarnya arah tuju seni perfileman tanah air. Diikuti dengan garapan dari pengarah pengarah lain yang diimpot seperti B.N.Rao, K.M.Bhasker, B.Avellana maka acuan perfileman kita semakin kukuh.

Pengarah pengarah tempatan semasa itu pula terpaksa mengikut cara cara penceritaan dan pengarahan yang telah ditetapkan oleh pengarah sebelum itu untuk memastikan para penggemar wayang gambar dapat menikmati semula kegirangan menonton wayang. (Seperti kita yang sudah biasa minum teh tarik di kedai mamak jika Si Basiron ingin membuka warung, beliau semestinya terpaksa menyediakan teh tarik yang sama rasa.)

Bagaimana agaknya situasi perfileman negara kita jika filem pertama kita telah di arahkan oleh Yasujiro Ozu jika beliau dibawa masuk oleh sebuah Syarikat Radio Jepun? Apakah acuan perfileman kita akan turut berubah? Berkemungkinan penonton kita amat mengkagumi filem ‘Kepong Story’ yang di adaptasi dari filem ‘Tokyo Story’ beliau itu! Wide lens dan tiada pan! Lupakan close ups! Hasil filem kita mungkin akan lebih dihiburkan dengan pelbagai bahasa filem yang serius. Walaupun sebuah penceritaan mudah tetapi maksud dan pegangan filem itu lebih meluas! Tiada tarian dan nyanyian sang hero memujuk sang heroine!

Sudah pasti filem Vittorio De Sica juga mendapat hak penayangan di panggung Coliseum! Para penonton dan penggiat filem tempatan menjerit filem itu tiada benarnya jika dilakunkan! Realism mengatasi sensasi! Kemudian hadir Godard! Perubahan baru. Sayajit Ray! Jim Jarmush! Abbas Kerostami! Filem Uwei Hj Shaari sentiasa difahami dan menjadi box office!

Tapi yob, kita masih di dalam mould yang berlainan. Hala tuju perfileman kita telah mati terpahat oleh penggiat filem kita sendiri. Sebagai contoh yang sangat mudah, turutan Act 1, 2 dan 3 di dalam filem tempatan. Kita semestinya mengharapkan sebuah penceritaan yang mudah. Jika kita ubah sedikit kedudukannya kepada 1,3 dan 2 nescaya akan melompatlah towkey panggung menarik kembali surat wajib tayang. Apa tah lagi tangisan dari pencinta filem Melayu yang mengatakan mengapa kita perlu melawan arus! Mengambil mastershot tetapi tiada tembuk? Takda single? Sepatutnya dah zoom in ni! Mana reverse shot? Audience kita tak perlu berfikir untuk menonton! Kita beri apa yang mereka mahu Mat!

Bagaimana dengan skrip dan lakunlayar? Whoa! Berat mata memandang berat lagi piala Lakonlayar Terbaik di pesta filem. Acuan kita tidak membenarkan kita lari dari penceritaan tempatan kepada yang lebih global atau keluar dari tudung saji yang menutup kepala kita.

Jika kita ingin hasil filem kita terus kekal difahami di sini, jangan sekali kali lari dari acuan yang telah ditetapkan. Jangan sekali kali cuba membuat kelainan kerana kelainan itu akan menyisihkan kita. Tiada kelainan diperlukan di dalam filem kita demi mengekalkan templet itu tadi. Dari memberi inspirasi sesama penggiat filem, kita memileh untuk menjaga kesucian acuan itu. Jangan melawan arus, kata kita.

Tetapi aku terfikir, bukankah filem itu ibarat layang-layang gagah yang memerlukan deruan angin dari arus bertentangan untuk terus terbang tinggi!? Dapat melebar luas jauh berlayar megah setanding? Dan, jika talinya dipintal kukuh, sudah pasti ianya tidak terputus...! Satu cabaran yang perlu aku ambil.

Kerana itu yob, aku ingin terus jadi pengarah filim.

Ulasan