Malaysia ini meriah

1.
Saya memang selalu membaca. Dan akhbar adalah salah satu dari sumber ketagihan harian saya. Semenjak akhir-akhir ini, saya dapati ketagihan saya kepada suratakhbar (yang dicetak mahupun online) semakin tegar. Saya sudah menjadi pembaca dan pemerhati berita-berita terkini dan mutakhir yang makin keras, biarpun saya tahu ada diantara isinya tampak dramatik dan makin 'mendebar' lewat-lewat ini. Oh, Malaysia memang meriah.

2.
Kelmarin ada seorang kawan yang saya anggap karib berkongsi cerita hidupnya. Ya, dia juga seorang fanatik filem dan penggiat komik seperti saya (cuma dia tidak menulis mahupun melukis secara profesional, belum lagi). Katanya, dia di dalam krisis. Ada persimpangan yang terharus sekali dilalui. Saya faham kerana saya sudah duga perkara ini. Bapa sahabat saya ini mahukan dia menjadi doktor, sama seperti bapanya jua. Ibunya seorang guru sekolah (kini berpangkat Pengetua), mahukan dia jadi apa yang ibunya mahu dia 'jadi'. Selepas beberapa tahun, kini dia menjawat posisi juruanalis kewangan di sebuah syarikat konglomerat perbankan terbesar di negara ini. Tapi itu bukan pokok krisisnya. Dilema sahabat saya ialah: dia sekarang sudah punya jalan untuk 'jadi diri sendiri'. Yakni, tahu apa yang dia mahu dan suka apa yang dia buat. Sebagai profesion dan juga pembentukan masa hadapannya. Cuma sekarang, dia terhimpit. Ada dua jalan untuk ke ''sana'. Dia musykil. Tidak tahu jalan mana yang perlu dipilih dan mana yang terbaik buat diri. Dia perlu pemacu dalam membuat keputusan. Saya beri nasihat dan ceritakan pengalaman saya. 'Dulu, masa dulu kat sekolah kalau ada yang dengar aku nak jadi penulis komik atau buat benda yang ada kena mengena dengan komik kat Malaysia ni, confirm dianggap benda tak logik. Tak menjamin hidup. Takde wawasan, kononnya. Diorang kata aku kuat berangan. Mustahil. Mana boleh. Mimpi lah kau... kata diorang dulu la'. Saya cerita tentang pengorbanan duniawi dan ukhrawi saya, tentang susur getir pengalaman saya dan akhirnya matlamat saya suatu hari nanti. Saya limpahkan keyakinan dan kekuatan buat sahabat tadi.

Dia sudah dapat buah fikiran. Semoga kau sukses, dud!

3.
Baru sebentar tadi (juga semasa minum petang dengan seorang sahabat), saya baru sedar yang kawasan SS15 di Subang Jaya sudah menjadi 'tidak waras' menjelang lewat petang, waktu-waktu warga pejabat pulang ke rumah.

Ada TIGA kejadian kemalangan jalan raya kecil yang salah satunya membabitkan seorang makcik dan seorang pemuda Melayu yang berambut blonde di depan kawasan minum-minum saya.

Ada DUA kejadian amuk dan gaduh disebabkan pola letak kereta yang dikategorikan 'sesuka hati mak bapak korang' sebagai punca.

Ada SATU cekupan pihak polis terhadap segerombolan pendatang asing di dalam van yang dilihat mewah berjenama.

Dan sudah pasti, ada BERPULUH-PULUH jakun dan pemerhati jalanan membikin suasana lebih hingar, lebih bingar.

PESANAN UNTUK SEMUA: Perlu jadi cowboy atau kenal sheriff lokal untuk masuk pekan ini!

Ulasan