Restui sahaja betapa pojoknya cara tulisan hari ini

Hari ini nampakya ada beberapa penemuan-penemuan baru yang sebenarnya wajar diceritakan. Pertama, sarapan pagi tadi yang sejujurnya sarapan skematik pada hujung minggu Ahad yang tipikal; hampir-hampir tengahari. Namanya 'brunch' mengikut nahu dan slanga Mat Salleh. Duduk bersama kumpulan darahdagingku menikmati selera Amerikana. Sebuah kedai 'waffle' dipersisir deretan kedai-kedai yang ada di sebuah pusat membeli-belah terkenal di kawasan Bandar Utama. Mulanya ingin merasa sesuatu yang biasa. Nah! Dengan tiba-tiba terlihat sesuatu yang memikat di dada lembaran menu. Sandwich waffle yang berintikan ham ayam dan potongan sosej beserta salad. Ternyata kemudiannya aku telah merasakan nikmat syurgawi singgah dan melekat dicelahan kerongkongan tekak. Aku terasa berada di kayangan dengan penemuan ini!

Selesai itu, kami terus meluru ke panggung. Minggu ini sahaja sudah dua filem ditonton di panggung. Itu belum dihitung apa yang dilihat di peti televisyen mahupun di kaca komputer. Tontonan kali ini agak ringan berbanding dengan tontonan pada hari Jumaat lepas yang lagi-lagi berat tumpuannya. Kemudiannya, sekali lagi langkah kami terarak ke restoran; makan tengahari dalam penjadualan. Juadah Amerikana buat kali kedua! Aku dan konco-konco seperti lagak orang putih sahaja! Haha. Dalam perjalanan ke rumah, sempat membeli senaskah akhbar berbahasa Inggeris yang lazimnya akan aku baca pada hujung minggu Ahad seperti hari ini. Di dada depannya, Perdana Menteri Malaysia sedang melayan keletah cucunya yang pertama yang buat pertama kalinya juga dipertontonkan umum di dalam media massa. Di bahagian dalamnya pula kiranya ada sesiapa yang sudah tahu atau belum tahu, seorang sahabat pengkarya komik tampil memberi temubual tentang dunia komik, penghasilannya, apa-kenapa-bagaimana dan siapa serta masa depannya di Malaysia serta di peringkat antarabangsa. Dia bakal muncul dengan sebuah komik baru yang berjudul 'Jenny's City' kelak. Tumpang gembira dan bangga ada yang sedar tentang profesionalisme dan pengkerjaan komik layak diberi tumpuan serius dalam sisipan 'Education' dalam fokusnya tentang bidang yang membabitkan seni dan media.

Malam pula, Zool singgah sebentar. Bual-bual ringkas dan bertukar-tukar cerita pendek. 'Esok sambung dan jumpa lagi kat office!', kata aku menutup dialog malam itu yang serba-serbi sederhana.

Lewat malam.

Batuk yang melanda sejak dari awal minggu yang lepas masih lagi menyengat. Lebih tragis(?), bukan aku seorangan saja yang menghidapnya. Hampir separuh pejabat juga begitu! Tanya saja pada Zedd, Jimi, Jack, Jeremy, Lobak dan kawan lobak yang namanya aku tidak dapat umum disini atas dasar keselamatan peribadi. Mungkin ini 'tulah' dan balasan yang harus aku terima kerana melanggar asasi azam tahun baru supaya bersara terus dari menjamah ais sejuk. Bukan semata-mata aku ada alahan resdung atau ada pesan sahabat yang memberitahu ais sejuk boleh melemahkan sistem pembiakan dan kesuburan lelaki sekiranya diamalkan secara selalu tetapi ais sejuk adalah nikmat sementara yang tidak bagus untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Oleh itu, sekiranya ada yang terpandang atau terlihat aku menghirup ais sejuk atau apa-apa minuman yang berteraskan ais sejuk; sudiah kiranya menzahirkan satu tendangan curi yang deras @ pukul curi dari bahagian belakang tanda peringatan ikhlas supaya aku lebih tegas dalam hal-hal yang ada saling-kaitan membabitkan 'displin'!

Selamat untuk semua. Nanti kita ketemu lagi.

Ulasan

ixora berkata…
Pojok tu apa maksudnya?
Faizal Mukhtar berkata…
[ixora]

Ruangan atau sudut didalam akhbar, majalah atau apa2 bahan percetakan yang disediakan khas untuk artikel atau penulisan yang berbentuk ilmiah-satira sama ada secara formal atau tidak formal.

itu menurut pemahaman saya sendiri. atau dalam kata lain, 'pandai-pandai aku'. Ha!!