F A N A T I K

Sejak saya putuskan untuk menulis dan membikin sebuah blog sebagai satu medan saluran untuk tulisan-tulisan saya, saya tidak pernah ada satu-satu bahan yang khusus untuk saya lampirkan sebagai implementasi ideologi saya sehari-harian. Apa yang saya rasakan mahu saya tulis, saya tulis. Apa yang difikirkan perlu saya tulis, saya tulis. Bagi saya penulisan penting untuk saya memberi, menerima, berkongsi dan bertimbal-balik sesama kita, tidak kira siapa saja. Karya-karya ataupun luah-luahan serta fahaman-fahaman yang serba-serbi diantara kita perlu diambil kira supaya banyak pengetahuan dan pengalaman dapat diraih.

Mungkin ramai diantara mereka yang sedang membaca tulisan ini percaya bahawa kebanyakan majoriti tulisan saya rata-ratanya bercanda tentang soal peribadi, berkisar berkenaan komik dan kadang-kadang pula sekali-sekala mengenai filem. Namun kecenderungan saya tetap pada komik kerana pada komik ada berbagai anekarama yang bertingkah jalurannya pada seni. Dan seni itu, lazimnya akan tampak indah jika ada yang mahu dan ingin memahaminya. Tanggapan saya pada komik dan pandangan saya terhadap komik sudah banyak berubah sejak dari saya mula belajar membaca dahulu sehinggalah ke hari ini. Arus perdana, seperti yang kita semua sedia maklum secara domestiknya menganggap komik adalah bahan bacaan suka-suka di waktu senggang-lapang. Cerita-cerita yang terkandung di dalam komik konon-kononnya ringan dan picisan belaka. Itu yang selalu kedengaran dan diketahui umum. Sahabat-sahabat saya yang tidak terlibat di dalam dunia atau industri komik secara langsung pada perkiraan saya sering bertanyakan (berulang kali) : apa ada pada komik ? Ini saya zahirkan secara terbuka dan umum sejak zaman persekolahan saya lagi. Berjajar terus ke peringkat pengajian tinggi di universiti, soalan yang sama diajukan.

“Kau baca komik?

“Komik yang kau baca??”

“Apa?... komik??!”

Seboleh-boleh saya tidak mahu menjadikan soalan-soalan ini menjadi polemik malah dilema dalam rencah bermasyarakat, yakni berkawan pada ketika itu. Saya ada sebab kenapa pilihan saya tetap komik dan kenapa pada tatkala itu saya bernekad dan bertekad untuk membawa minat saya pada komik ke satu tahap yang lebih meyakinkan orang dan jelas rentak hasilnya. Maksud saya disini ialah sebagai profesion harian dan juga sebagai karier hidup saya. Menjadi seorang pengkarya komik.

Komik hari ini sudah banyak ‘warna’. Dulu mungkin pelantarnya tidak luas dan sering menjadi keluhan dalaman kiranya ada yang ingin menjadikan bidang pengkaryaan komik sebagai satu ‘pekerjaan’. Dunia sering berubah-ubah sehari-harian dan mereka yang terlibat dalam dunia komik juga terasa akan perubahannya. Dulu tidak ada internet, sekarang sudah macam-macam boleh dilakukan dengan adanya internet. Dan dengan adanya internet - wujudlah blog, deviantArt, MySpace dan lain-lain. Pengkarya komik makin senang, mudah dan praktikal untuk mengembangkan ideologi serta kreativiti mereka. Kebebasan juga terserlah sekarang berbanding dahulu. Kurang rungutan pada yang ‘tidak ada’, kurang alasan pada ‘sedia ada’.

Hari ini terbukti saya sudah ada pada landasan yang betul. Cuma saya fikirkan ‘landasan’ sahaja belum cukup teguh untuk saya capai destinasi-destini saya. Saya perlu banyak lagi bekalan dan bantuan. Saya perlu banyak lagi belajar dan memahami. Saya yakin ada lagi yang saya tidak tahu dan harus tahu. Ini adalah masanya untuk saya dan semua karyawan komik diluar sana untuk sama-sama saling tahu dan mengetahui. Inilah masa puncak kita. Hollywood telah me‘laku’kannya, media massa telah mengikhtirafnya, ada ilmuwan sudah mula ‘melihat’nya dan masyarakat sedikit-sebanyak makin menerimanya.

Bagi saya,

Komik adalah inspirasi, inferensi serta ideologi kreativiti seni dan gerakan ilmu pengetahuan tanpa batas yang boleh dizahirkan sebagai wacana baru-segar dan wadah menarik serta indah demi melahirkan para bijakpandai dan cerdikpintar atas nama sebuah revolusi karya.

Ulasan

ixora berkata…
Ujang itu komik kan? kan?
err,walaupun tulis majalah lawak antarabangsa kt dpn tu..

Bg saya, Ujang tu still ada nasihat2 berguna utk pembacanya. Bkn sekadar hiburan/gelak ketawa semata2. (sbb sy cuma bc ujang je, sy tatau nk komen psl komik lain)
Faizal Mukhtar berkata…
[ixora]

SETUJU!
gayour berkata…
industri kartun dan komik tanahair boleh menjadi hebat seperti di US/ jepun sekiranya semua pengkarya, peminat, penyokong, pengkritik, peminjam dan pembaca berILMU!

termasuk juga PENULIS!
Faizal Mukhtar berkata…
[gayour]

setuju jugak. bak kata orang 'ilmu penyuluh hidup'. macam cogankata sekolah juga...