duduk diam-diam di sini...

Makanan kegemaran penulis di kala pagi-pagi begini biasanya terarah pada roti tampal garing(rotinya sahaja yang garing) dan teh o panas. Sekali-sekala teh tarik. Penulis sudah sedikit-sedikit mula meminggirkan minuman dingin dan sejuk di awal hari. Tak elok kata orang-orang itu. Malah ingin juga 'bersara' daripada menikmatinya terus(tapi sekiranya keadaan mendesak dan darurat yang larat, apakan terdaya). Hidangan sarapan terjamah dalam selera.

Semalam penulis bercuti seharian dari kerja. Makanya hari ini dan esok, sekiranya dikumpul ada tiga hari cuti semuanya. Namun itu, terasa sedikit keganjilan apabila bercuti atau bukan harinya bekerja, penulis sering selalu bangkit awal dari lena. Sedangkan ada tuntutan kerja di pejabat, lewat dan liat sungguh untuk ke bilik air. Hari ini 'terjaga' apabila digegarkan oleh bunyi-bunyian yang tidak diundang di balik celahan lena dan sedar. AH! Ada alamat lagi untuk bingkas bangun dan menghadapi pagi hari. Bersedia ataupun tidak. Dan malam tadi pejaman tidur dengkurnya agak melampau. Sekitar 3 pagi. Semuanya gara-gara permainan futsal di Sunway SportsPlanet dan acara bual-borak di Bistro Mamak itu. Langsung pulang dan mata berdegil untuk beradu-aduan.

Kesempatan beristirehat semalam rata-rata diisi dengan... berehat. Namun digetari nikmat apabila penulis sempat membeli sebuah buku(baru) lagi. Buku yang diidamkan sejak di pembangkuan sekolah lagi(walaupun di sekolah dulu duduknya di atas kerusi tapi atas dasar bahasa, digunakan juga ungkapan 'bangku sekolah'). Bukunya segar malar(evergreen) dan untuk memilikinya dahulu memang tidak tercapai hasrat kerana harganya yang agak menggigit kocek saku. Kini penulis berkemampuan biarpun bulan sudah pun sampai ke garis pertengahannya. Perbelanjaan juga sedikit 'kurang waras' akibat keghairahan Pesta Buku tempoh sudah. Ternyata satu pengorbanan(pelaburan?) yang harap-harap berbalik-baloi suatu masa nanti. Senyum tersimpul mati di dalam hati bila sudah buku ini menghiasi pembaringan mata penulis. Kisahnya menarik dan mengilhami. Nukil kembara seorang sasterawan jauh ke negeri orang dan isinya berbunga rasa dengan pengalaman, berbaur jiwa dan perasaan. Dan ada terdapat tulisan-tulisan tangannya yang tulen dan asli - di selang-seli gambaran-gambaran coretannya di sana. Penulis menggemari akan karya-karya jurnal berbentuk pewarkahan ini. Sekali lagi, sangat-sangat mengilhami.

Dan akhir-akhir ini, ada banyak juga perkara-perkara berbangkit yang mendatang iltizam dan ilham. Dua orang rakan menjemput dan menawarkan ruang dan peluang untuk berkarya secara online. Menarik dan sedang dalam pertimbangan usaha untuk menggerakkannya. Sedang dalam pada itu, ada alunan yang berlagu di dalam hati. Baitnya tajam biarpun berkias dan retorika. Mandat falsafahnya juga 'dalam' dan 'besar' terlingkung sendiri.

Kau yang berselindung
Di balik sutra
Warnamu pelangi
Engkau mustika hati
Persona cinta
Mahligai rindu
Malam dingin yang kejam
Aku tiada gentar
Kerna cintamu
Misteri alam yang terbongkar
Lena jadi sedar
Kerna kasihmu

Yang dulu ku cari
Rupa-rupanya ada di sini
Dan yang bermain di mimpi
Menjelmalah engkau dalam realiti

Dulu lalu depan mata
Tapi ku tak hirau
Ku Tak peduli
Tapi setelah ku tahu
Hanya engkau teman
Kau tak ku lepaskan

Mustika, oh... mustika
Mestikah aku menjadi penanti
Pelukan sakti cinta sucimu
Aku tak sabar menantikan esok hari
Bawalah daku bersamamu
Oh, mustika hatiku
Mustika, oh... mustika


p/s: Ya. Kadangkala aku ini orangnya sangat 'ironis' !

Ulasan

gayour berkata…
ah! nyanyi2 la plak! bagai mana dengan ' mustika ' pojaan hati lu itu dong ah, kok sudah dirampas orang?
Radenputri berkata…
La...ya ke abang gayour?...dikebas orang ke baru nak berputik rasa... lagu ni isinya macam untuk orang yang sedang dilamun rindu dendam je :p hmm...mr sandman ni seorang yang sukar dibaca hatinya...