Ilhami.

“Seni itu indah”. Demikian kata seorang seniman agung. Memang seni itu indah. Tidak dapat hendak dihuraikan keindahan itu kerana setiap insan menafsirkannya dari sudut berlainan. Namun, keindahan itu menimbulkan kesan sama pada setiap jiwa - tersentuh, kagum, tertawan, hiba atau ria.

Jiwa siapakah tidak bergetar membaca puisi indah dan syahdu? Apakah menyebabkan sesuatu lagu berjaya menitiskan air mata atau menghidupkan suasana riang ria? Mengapa sesuatu lukisan amat tinggi nilainya dan menjadi rebutan terutama selepas pelukisnya tiada lagi di dunia? Bagaimanakah seseorang pelakon mampu membuat penonton menangis dan ketawa bersamanya atau benci dan meludahinya di luar dunia lakonan? Apa pula menyebabkan seseorang penulis, penyanyi, pelukis atau pemuzik begitu diminati dan disanjung tinggi?

Kalaulah ilham itu boleh diibaratkan sebagai satu benda, maka bagi aku, benda itu adalah diri aku sendiri. Ilham adalah diri aku dan diri aku adalah ilham. Susah hendak dimengertikan tetapi itulah tanggapan aku mengenai dan tentang ilham.

Ilham itu datang dua cara. Pertama, melalui pemerhatian dan pengalaman. Kedua berada dalam diri sendiri. Maksud aku, untuk menulis misalnya mesti ada sesuatu untuk merangsang ilham itu tiba, ada peristiwa menyebabkan terbitannya ilham itu. Tetapi rangsangan dan peristiwa itu tidak akan menjadi ilham kalau kepekaan menjadikannya ilham tiada dalam diri. Seniman harus punya daya khayalan yang lebih kuat daripada orang lain (bukan aku menganggap diri aku seniman... belum lagi). Dia mesti dapat membayangkan perkara yang tidak dilakukan atau dialaminya sendiri dan dapat pula menggunakan khayalan itu kepada satu bentuk seni. Mungkin dia tidak pernah bercinta tetapi dia mampu merasai bagaimana perasaan orang bercinta; debar, kecewa, suka, hampa, gembira, hiba dan lain-lain. Dan perasaan itu digubah menjadi baris-baris kata. Tulisan yang akhirnya membuahkan sebuah karya.

Pada pendapat aku secara peribadi, pengalaman dan pelajaran lampau menentukan corak berkarya. Tak kiralah dalam penulisan, lukisan, lagu ataupun apa-apa sahaja yang melibatkan pengkaryaan. Sebagai contoh, karya A Samad Said misalnya tercorak hasil pengalaman lampaunya melalui beberapa perubahan zaman. Kerana pengalamannya begitu, maka hasil karyanya bercorak begini. Dan begitulah juga dengan lagu dan muzik. Aku harus ambil contoh M.Nasir sebagai tanda hormat. Dia menggubah lagu mengikut siapakah yang bakal menyanyikannya. Setiap kali, dia akan cuba membayangkan lagu itu untuk siapa, penyanyinya, bagaimana wataknya dan segala-gala berkaitan penyanyi itu. Mungkin penyanyi (atau kumpulan) itu lebih sesuai lagu bercorak hiburan semata-mata dan penyanyi itu pula membawa mesej tertentu. Meneliti kesesuaian ini juga adalah sumber ilham bagi setiap pengkarya.

Tiada kelainan antara seniman dan manusia lain. Jadi aku tak percaya kalau orang mengatakan manusia seni itu ganjil atau berkelakuan lain daripada orang lain. Itu semua itu tak betul bagi aku. Aku tak percaya mencari ilham di tepi sungai, laut, gunung, tasik macam sesetengah orang membolehkan mereka bertemu 'ilham'. Itu bagi aku tanggapan salah mengenai ilham. Atau orang menyangka begitu kerana media selalu menggambarkan demikian. Bagi aku, cara itu hanya pada zaman yang bukan zaman sekarang. Kalau sekarang, cara begitu tak boleh pakai sangat. Tapi ada orang yang senang dengan cara itu dan memang aku tak punya hak untuk melarang dan menidakkan hak mereka-mereka itu. Kalau menunggu termenung di tepi sungai, baru ilham muncul, rasanya satu kerja pun tak menjadi. Maka timbul satu lagi persoalan: Apakah wanita (lebih-lebih lagi yang cantik) banyak mendatangkan ilham?

Tak adalah. Tak jugak. Melihat wanita bukan mendatangkan ilham tetapi... Ah! Faham-faham sendirilah. Kalau bicara tentang wanita dan perempuan ni, bagi aku tingkatan dia atas sikit (Subject matter-nya lain. Ada elemen dan unsur magical. Itu kuasanya lagi hebat luarbiasa. Kita cerita lain kali).

Jadi, waktu dan suasana bagaimana pulak mendatangkan ilham mencipta lagu, kau tanya aku? Seni ada masa tak? Aku tanya kau balik. Seni tidak ada masa. Jadi tidak ada waktu atau suasana tertentu mendatangkan lebih 'mood' untuk berkarya. Bila-bila masa sahaja boleh berkerja. Jugak, kita tak boleh terlalu mengikut mood. Sebagai penulis aku tak boleh begitu. Sekarang aku terpaksa menulis beberapa buah cerita dalam tempoh lebih kurang sebulan.

Namun, kau masih tak puas hati dan bertanya lagi. Tidakkah penulisan yang seolah-olah terburu-buru dan mengejar masa itu menjejaskan mutu karya yang dicipta? Adakala kita terpaksa mengalah kepada kehendak komersil dan arus perdana, mengatasi kehendak seni kita sendiri? Aku jawab lagi: Memang kita tidak pernah puas dengan apa yang ada. Walaupun, katakan kita puas hati dengan sesuatu tulisan itu, berapa lama rasa puas itu berkekalan? Tentu sampai masanya kita kembali merasa tidak puas hati dan ingin mencipta yang lebih baik lagi. Tinggi atau tidaknya nilai sesebuah karya dan sama ada ia diminati atau tidak, bukan hak kita. Itu hak pembaca(tapi tak semua pembaca adalah penilai). Kadang kala tulisan-tulisan yang kita rasakan cukup baik dan bermutu tidak mendapat sambutan. Sebaliknya, karya-karya 'penyendal' (diselitkan untuk memenuhi permintaan) pulak yang diminati. Mendapatkan ilham melalui penelitian ciptaan orang lain tidak salah asalkan bukan peniruan bulat-bulat. Persamaan yang sedikit tidak mengapa tetapi sentuhan peribadi aku dan kau mesti ada. Itu penting.

Jelasnya, penentuan siapa yang lebih dikenali bergantung pada siapakah antara pencipta-pencipta itu mempunyai daya kepekaan lebih kuat. Dan aku rasa, dari situlah datang ilham yang betul-betul 'pure' dan agung dalam ertikata sebenar.

Ulasan