BERITA SEMASA

Minggu ni sedang aku baca-baca berita yang ada dalam suratkhabar sambil-sambil nak 'update'kan diri dengan perkembangan semasa dunia, ada satu story yang sudah tangkap aku punya attention... ada masa, silalah baca kronologi laporan beritanya dibawah ini :


*******************************************************************


Jati diri seniman dalam Ehwal Semasa (RTM1)
( petikan Mingguan Malaysia, 9 April 2006 )

Program Ehwal Semasa di RTM 1 malam ini akan dijangka hangat apabila membincangkan mengenai tiga ikon seniman negara ini : Allahyarham P.Ramlee, Allahyarham Sudirman dan M.Nasir.

Ketiga-tiga seniman ini bukan sahaja ikon populariti pada era masing-masing malah menjulang jati diri sebagai teras pengkaryaan. Jati diri dalam konteks ini bukan hanya Melayu malah mewakili pemikiran dan idealisme Malaysia.

Program bertajuk Siapa Lebih hebat? (P.Ramlee, Sudirman dan M.Nasir.) ini disiarkan secara langsung dari Angkasapuri. Sumbangan golongan seniman sering kali diketepikan padahal mereka mempunyai pengaruh untuk membentuk aliran pemikiran khalayaknya.

Menurut sumber, sekalipun perbincangan mengenai jati diri yang sewajarnya bagi seniman Malaysia, ahli-ahli panel juga mempunyai persepsi masing-masing terhadap ketiga-tiga ikon tersebut.

Generasi baru misalnya selalu menganggap karya-karya P.Ramlee sama ada filem atau lagu-lagunya hanya sekadar nostalgia. Tetapi karya-karya itu tidak mencapai tahap karya agung setaraf dengan sanjungan terhadap P.Ramlee.

Malah ada juga pihak yang mendakwa, dalam lakonan, Nordin Ahmad jauh lebih berkarisma, dalam pengarahan filem M.Amin dan Hussein Hanif lebih cemerlang. Lalu di mana P.Ramlee.

Ada pihak tidak mengiktiraf P. Ramlee sebagai ikon seniman hebat negara. Ada pula yang berkata P. Ramlee hanya menyambung gaya pengarahan pengarah dari India. Tengok filem P. Ramlee mesti ada tarian dan nyanyian macam filem India. Benarkah?

Sesetengah pihak pula menganggap Sudirman hanya penghibur bukan seniman. Ini kerana Sudirman bukan pencipta lagu atau penulis lirik. Sudirman hanya menyanyi.

Tanya mereka di mana jati diri Sudirman sebagai seniman di Malaysia? Tambahan pula Sudirman memilih aliran pop dan bukan lagu-lagu macam nyanyian Siti Norhaliza yang berteraskan lagu tradisional.

Sementara M. Nasir pula dilihat lebih keterampilan muzik-muzik ciptaannya. Selepas era kegemilangan rock rock menerusi lagu nyanyian Wings dan Search, M.Nasir menemui jati diri dalam ciptaannya.

Ada orang menganggap M. Nasir lebih berjati diri daripada P Ramlee kerana mempergayakan irama-irama tradisional seperti keroncong, ghazal dan inang menjadi muzik pop.

Peminat P Ramlee pasti membantah. Mana boleh M. Nasir mengatasi P. Ramlee. Malam ini peminat-peminat boleh membuat panggilan secara langsung kepada moderator dan ahli panel di studio.

Tetapi ahli-ahli panel nampaknya tidak berkompromi antara satu dengan yang lain. Mereka terdiri daripada penulis lirik dan produser filem Habsah Hassan, pencipta lagu dan penyanyi Kopratasa, Siso dan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain. Moderator adalah Rosyam Nor.

Walaupun ada pertentangan pendapat tetapi program Ehwal Semasa malam ini cuba menyingkap bagaimana seharusnya menjadi seniman yang membawa jati diri Malaysia.

Dalam ledakan seni pop yang bercita rasa rendah, karya-karya seni yang bernilai tinggi oleh seniman yang berjiwa besar sangat diperlukan.

***

Perbincangan siapa lebih hebat dianggap hina P Ramlee
( petikan Berita Harian, 10 April 2006 )

Program Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila seorang penyokong kerajaan mempertikaikan kewajaran satu siaran langsung malam tadi yang disifatkan menghina Tan Sri P Ramlee.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, program itu yang mendebatkan siapa lebih hebat antara P Ramlee, Sudirman dan M Nasir menimbulkan kemarahan rakyat kerana P Ramlee adalah seniman kebanggaan negara dan tidak layak dibandingkan dengan penyanyi lain.

“Saya terpaksa melahirkan perkara ini kerana program malam tadi mendebatkan siapa lebih hebat antara P Ramlee, Sudirman dan M Nasir... rakyat marah kerana segmen ini menghina P Ramlee.

“P Ramlee sebenarnya tidak ada tandingan. Jangan cuba membandingkan seniman agung yang menjadi kepunyaan, kebanggaan bangsa. Siapa M Nasir, siapa Sudirman, nak dibuat perbandingan?

“Boleh ke kita buat perbandingan mana (lebih) hebat Kinabatangan dengan Perdana Menteri...mana lebih hebat Larut dengan (Tun) Dr Mahathir, boleh? Tak boleh, tak boleh,” katanya ketika membahaskan usul mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Mohamed berkata, penerbit rancangan TV harus berhati-hati dan sensitif dengan perasaan rakyat terutama dalam menyentuh perkara yang menjadi milik dan kebanggaan bangsa.

“Saya tak menyalahkan Menteri, saya tak salahkan Timbalan Menteri, saya tak salahkan Ketua Pengarah tapi mengapa segmen yang macam ini boleh dibenarkan? P Ramlee tak ada tolok bandingan.

“Itu sebabnya ada lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti,” katanya sambil menyanyikan baris pertama lagu itu.

Kenyataan Mohamed itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang bangun mencelah dan menerangkan tajuk program itu sebenarnya bertujuan menyanjung P Ramlee berbanding penyanyi lain yang hebat selepasnya.

“Memang P Ramlee tak ada tolok bandingnya. P Ramlee tetap P Ramlee,” katanya sambil bertanya sama ada Mohamed sedar TV1 dan TV2 sekarang sudah bertukar nama masing-masingnya kepada RTM1 dan RTM2 memandangkan wakil Sri Gading itu masih menyebut siaran TV1 dan TV2.

Kenyataannya itu mendapat reaksi spontan beberapa Ahli Parlimen yang berkata tindakan menukar slogan dan sebagainya oleh RTM adalah perkara biasa bagi stesen itu setiap kali bertukar Menteri.

“Itu memang kerja RTMlah...sikit-sikit tukar, tukar menteri je tukar.

Esok kalau Menteri di bagi kepada Jasin, Jasin agaknya tukar juga. Kalau saya jadi Menteri, Ketua Pengarah dia sekali saya tukar,” kata Mohamed.

Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) turut mencelah dengan berkata: “Yang dulu rebranding habis dekat RM11 juta, hari ini infotainmen dah habis...hari ini inforia pula, entah berapa juta pula habis.”

Terdahulu beberapa penyokong kerajaan memuji program televisyen pada masa kini sama ada oleh TV3 atau RTM yang banyak mengutara dan mendedahkan masalah rakyat. – Bernama

***

'Isu banding P. Ramlee lucu' - M. Nasir
( petikan Utusan Malaysia, 12 April 2006 )

Komposer muzik terkenal, M. Nasir menganggap isu membandingkannya dengan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai `melucukan'.

Malah beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz bahawa dia tidak setanding dengan karyawan tersohor negara itu, tidak perlu diambil serius.

Sehubungan itu, M. Nasir menegaskan, beliau tidak mahu dikaitkan dengan isu tersebut kerana ia langsung tidak menjejaskan kehidupan sehariannya.

Ketika ditanya sama ada beliau `ambil hati' dengan kenyataan wakil rakyat itu yang seolah-olah memperlekehkan sumbangannya dalam industri muzik, beliau menyatakan: ``Saya tidak tersinggung.''

``Isu ini melucukan, kelakar,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

M. Nasir diminta mengulas kenyataan Mohamed yang mempertikaikan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam yang menyiarkan perdebatan siapa lebih hebat antara P. Ramlee, Sudirman dan M. Nasir.

Wakil Rakyat itu menyatakan: ``P. Ramlee tiada tandingan, siapa M. Nasir, siapa Sudirman nak dibuat perbandingan.''


P/S ...judge for yourself, apa sebenarnya yang terjadi dan apakah moral sebenar cerita ini yang aku tak dapat simpul sorang-sorang secara muktamad???



Ulasan