'Perenggu minda'


Aku katakan kepada seorang teman bahawa aku bukanlah seorang pengkhianat! Dia merasa bahawa hari-harinya luka kerana pengkhianatan aku pada sebuah ikrar dan nekad yang sudah lalu. Apakah harus begitu?


...


Ceritanya begini, dulu dia pernah menulis puisi. Sekian lama dia simpan puisi itu kerana masih merasa kurang puas dengan hasil karya yang ditulis. Suatu ketika, dia ingin olah semula ulang isi dari puisinya. Mengurang mahupun menambah, atau merubah susunan tiap kata dan semua tanda baca. Setelah selesai, dia merasa (agak) puas dengan hasilnya.

Beberapa hari kemudian, perasaan kecewa dan sengsara muncul. Dia telah khianati puisi pertamanya. Telah di khianati pula perasaan lamanya saat menulis puisi pertama kali. "aku merasa puisi ini langsung hilang rasa keaslian setelah pengkhianatan ini", katanya.

Lalu aku memberikan nasihat kepadanya. Bukan dia telah mengkhianati puisi dan juga perasaannya waktu itu. Bukan juga dia telah merosakkan keaslian puisi yang telah di tulisnya beberapa waktu yang dulu. Tidak seperti itu. Aku mengatakan dengan tenang bahawa, "Puisi adalah kebebasan dan tidak terikat". Maka langkah bagi sebuah puisi itu harus terus menerus berlaku. Seperti pula dikatakan oleh seorang pendita bijaksana, "Curah ilham itu tidak kenal waktu".

Bila sebuah puisi lama tidak beranjak dan hanya disimpan di dalam hati atau dendam, jadinya ia tetap begitu dan begitulah ia selamanya. Mahu dikatakan bagus atau tidak, puisi itu tetap dalam keasliannya. Tapi bukan begitu menurut fikiran aku. Asli dan jujur adalah kata yang maya. Tergantung kepada apa kita berpijak.

Kesudahannya?

Sebuah puisi lama sudah selalu di olah beberapa kali. Lalu terdapatlah sebuah puisi baru dari hasil kemasan itu. Keasliannya tadi tetap pada puisi pertama, sedangkan aku dan dia telah mendapatkan puisi baru yang masih jujur akur pula kerana telah memiliki dua rasa yang berbeza : semangat lampau dan semangat sekarang.

Ulasan