Perihal Dato' Laksamana Hang Tuah :
suatu perdebatan hebat bersama rakan.



Saya tertarik dengan suara pendapat seorang rakan yang menjelaskan hipotesis kemungkinan Hang Tuah bukan berbangsa Melayu. Tahniah atas suatu analisis yang menarik. Bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa keterangan yang bukan untuk menyanggah tetapi untuk menambah perspektif perbincangan ini agar lebih luas.

Pertama, kalau dilihat pada Sulalatus Salatin edisi A Samad Ahmad, Hang Tuah dikatakan berasal dari Tanah Bugis, iaitu Makasar, dan nama asalnya Daeng Mempawah. Daeng Mempawah yang masih muda diangkat menjadi anak angkat Bendahara (Paduka Raja) dan dibawa ke Melaka. Sesiapa yang menyimpan edisi ini boleh memeriksa sendiri. Walaupun ada sarjana Barat yang menolak episod ini, kerana kononnya ia ditokok tambah kepada tulisan asal Tun Seri Lanang (atau Tun Bambang, bergantung pada mazhab sejarah anda!) pada zaman kemunculan kuasa Bugis di Johor-Riau. Kalau tidak silap, Shellabear turut menolak episod Hang Tuah.

Bagaimanapun dari perspektif lain, orang Bugis telah lama menjelajah ke seluruh Nusantara malah hingga ke Madagascar (dan menjadi Melayu di sana) dan telah banyak melahirkan pahlawan hebat serta beberapa dinasti pemerintah di Riau, Johor, Aceh dan Selangor. Jadi, asal orang Bugis yang lebih hampir dan mungkin lebih besar kemungkinannya. Dari perspektif keMelayuan pula, masyarakat Melayu Melaka sudah menerima konsep kahwin campur, termasuk dalam keluarga diraja, dimana beberapa Sultan terakhir kebanyakkan mempunyai darah India Muslim di sebelah ibu. Beberapa pembesar istana dalam sejarah Melayu juga bergelar Khoja, gelaran yang asalnya untuk orang-orang Islam yang berasal dari benua kecil India, jadi tiada masalah menimbulkan jati Melayu atau tidak keturunan seseorang tokoh itu kerana konsep Melayu dan meMelayukan begitu luas di zaman itu. Melaka pada zaman dahulu tiada kad pengenalan pintar.

Satu perkara yang ingin saya bangkitkan adalah kita sering membaca dan mencedok bahagian-bahagian kecil dari karya sejarah seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin, tanpa melihatnya secara menyeluruh. Generasi ini, yang belia barangkali yang paling kurang mentelaah karya ini, walaupun terdapat bahagian menarik yang boleh kita renungi. Selain aspek pengajaran moral dan 'poetic justice' yang sering dibincangkan sarjana, banyak aspek budaya dan teknologi yang kadang-kadang terselit dalam Sulalatus Salatin contohnya yang jarang diteliti.

Contohnya, dalam suatu episod, seorang panglima Melaka berjaya melarikan seekor gajah milik Sultan Pahang melalui jalan laut. Pekara yang menarik kita fikirkan adakah saiz jong tersebut sehingga boleh memuatkan seekor gajah matang, serata melayarkannya dari Muara Pahang ke Melaka. Begitu juga aspek peperanagn orang Melaka yang banyak melibatkan 'naval warfare', perahu melanggar perahu, sedikit perang darat kerana masyarakat dahulu lebih rapat dengan air dan lautan. Dan banyak lagi aspek lain yang boleh ditinjau.

Dalam buku 'A Malaysian Journey', Rehman Rashid menulis orang Melayu Malaysia ketandusan hero yang hebat-hebat seperti orang Indonesia yang boleh berbangga dengan Imam Bonjol, Diponegoro dan Tjoet Nyak Dhien. Jika Hang Tuah dipadam dari senarai hero dan wira Melayu, adakah kita sudah tandus semangat kepahlawanan? Jauh sekali, kerana orang Melayu masih ramai pahlawan yang tak bernama, jarang diperkatakan dan jarang ditulis kisahnya. Ambil saja kisah Raja Mahadi, Sutan Puasa dan Raja Asal. Perang mereka menenetang Inggeris di Kuala Lumpur dan Selangor kadang-kadang tinggal satu perenggan saja dalam teks sejarah!Bayangkan perang berpuluh-puluh tahun, dengan beratus-ratus orang mati, dan Kuala Lumpur terbakar hangus, tapi tiada tetulis pun... dan kita pun terus balik pada Tuah. Mungkin Hang Tuah popular kerana Hang Tuah dalam kotak fikiran kita adalah 'Hang Tuah P.Ramlee' yang romantis dengan kisah cintanya dengan dua wanita yang Hang Tuah yang dimakan rasa bersalah macam 'Hamlet versi Melayu' adanya.


Harapan agar kisah cinta agung 'Puteri Gunung Ledang' nanti ada memberi sedikit nafas baru dalam keterbukaan minda dan pendapat.

... sedikit itu lebih baik dari tiada langsung.


p/s: terkenang kembali ketika disekolah --- menuntut jurus pelajaran sastera seolah faham isi kandungnya, sedangkan bahasa teks yang digunakan amat sukar dijelas... yang paling sukar 'Prosa Warisan Klasik'. Digagahi jua kerana ingin lulus Sijil Pelajaran Malaysia.







Ulasan